May 13, 2017

Hari Ibu

 Image result for mother's day    Ibu tak dapat apa-apa ucapan dari anak-anaknya. Seolah-olah dirinya tidak dihargai untuk sepanjang masa ibu menjaga dan menyayangi anak-anaknya itu. Ibu tidak minta untuk diberikan penghargaan besar-besar seperti rumah, kereta, tiket ke mekah hatta kek sekalipun. Ibu hanya mahukan anak-anak ibu beri ucapan itu kepada ibu. Ibu manusia biasa juga. Ingin rasa dihargai dan dikasihi.

Sepanjang seharian hari ibu mendapat sambutan di media sosial. Rakan-rakan media ibu ramai memuat naik gambar anak-anak mereka memberi kad, membuat kejutan dan macam-macam lagi. Hati ibu terganggu. Mana anak-anak ibu? Mana dia ucapan yang sering dihadiahkan semasa anak-anak ibu masih bersekolah dulu? Ibu rindu ucapan itu. Ibu tidak pasti kenapa anak-anak ibu diam sahaja dan hanya buat tidak tahu dengan hari ibu yang berlangsung hari ini. 

Ibu duduk menilik telefon bimbitnya lagi. Terlampau banyak ucapan hari ibu. Tidak kurang juga, ada para ibu lain yang mengucapkan hari itu kepada ibu. Semua dibalas bersahaja dan sedikit sebanyak ibu tersenyum juga. Saat senyuman hampir menyentuh telinga, senyumannya mati kembali. Masih kecewa dengan sikap anak-anak yang mengabaikan hari itu. Tidak! Dia tidak boleh kecewa. Itu anak-anak yang dia sayang. Bahaya sekiranya dia berasa kecewa begitu kerana anak-anak mungkin akan jadi anak derhaka kerana hal kecil itu.

Itulah ibu. Disebalik pelbagai perasaan yang ibu pendam, ibu bertahan dari terlepas kata dan mengeluh. Ibu sedar, bukan semua yang ibu inginkan akan ibu dapat. Anak-anak ibu sudah besar dan mereka tidak banyak masa untuk sentiasa bersama ibu, tapi ibu masih bersyukur kerana anak-anak ibu pandai menjaga kebajikan ibu. Anak-anak ibu masih tahu hormatkan ibu. Walaupun anak-anak ibu bukannya rajin sentiasa, ibu nampak kegigihan anak-anak ibu untuk menjaga hati ibu daripada membebel dan marah-marah untuk perkara kecil sebegitu. 

Ya. 

Ucapan hari ibu bukanlah kayu ukur dan bukti kesayangan anak-anak ibu ke atas ibu. Ibu akan malu jikalau ibu hanya mendambakan satu-satu perkara itu dan berfikir buruk tentang anak-anak ibu tetapi sebenarnya anak-anak ibulah yang menghantar ibu ke syurga dengan doa anak-anak ibu yang tak pernah lekang dari bibir. Ibu juga bersyukur anak-anak ibu tidak hipokrit dengan ibu. Anak-anak ibu tidak pernah melakukan sesuatu hanya untuk mendapat pujian daripada ibu. Pujian yang keluar dari ibu kerana anak-anak ibu belanja ibu makan sempena hari ibu. Namun, hakikatnya anak-anak ibu cuma bermuka-muka untuk sehari. Nauzubillah ya Allah.

Ibu sayang anak-anak ibu. Biarlah kamu tidak ucapkan hari ibu kepada ibu yang penting kamu tahu cara menghormati ibu. Barulah ibu tahu apa perasaan ayah kamu diabai begini. Ibu pun kadang-kadang terlepas pandang tentang hari bapa. Ibu hanya biar sahaja ayah begitu tanpa ucapan selamat hari bapa kepada ayah. Mungkin Tuhan mahu ibu rasa apa yang orang lain rasa. Ibu tahu ibu tak layak untuk diagung-agungkan sebagai ibu kerana ibu pun ada kalanya leka dengan amanah ibu. Ibu leka dengan media sosial dan bisnes ibu. Ibu minta maaf anak-anak dan ayah.

Mungkin juga, inilah kifarah untuk setiap perbuatan ibu.

Ibu minta maaf lagi sekali, sayang. 

No comments: